Rabu, 21 November 2012

Boria

Boria adalah sejenis teater yang popular di Pulau Pinang. Boria mempunyai 2 segmen iaitu drawings dan nyanyian. Boria diketuai oleh Tukang karang (biasanya akan memegang tongkat penunjuk ketika menyanyi). Rangkap karangan boria mempunyai hujung suku kata yang sama setiap rangkap kisahnya berkaitan dengan drawing yang dipersembahkan. Sailor terdiri daripada 6 orang di belakang tukang karang akan menyanyi dengan mengulangi rangkap pertama nyanyian tukang karang tadi. Alat-alat muzik boria ialah marwas, gendang panjang, akordian dan harmonika.

Selasa, 20 November 2012

Kuda Kepang

Kuda kepang merupakan sejenis tarian tradisional kaum Melayu. Tarian kuda kepang amat digemari oleh penduduk Johor, terutamanya mereka yang berketurunan Jawa. Kuda kepang diperbuat daripada anyaman yang dibentuk seperti kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang diwarnakan untuk menjadi lebih menarik. Satu kumpulan terdiri daripada 10 hingga 15 orang penari. Tarian ini biasanya ditarikan di majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti menyambut orang kenamaan dan majlis perkahwinan.

Tarian Zapin

Tarian zapin merupakan sejenis tarian rakyat Melayu tradisional. Tarian ini diilhamkan oleh peranakan Arab dariu Yaman. Tarian zapin telah meluas hingga ke Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan Indonesia. Tarian zapin mementingkan pergerakkan berkumpulan dan bukannya individu. Antara alat muzik yang mengiringi tarian zapin ialah gambus, rebana, gendang, rebab dan marakas.

Tarian Ngajat

Tarian ngajat sangat popular di kalangan orang Iban di Sarawak. Ianya ditarikan semasa menyambut Hari Gawai. Pada zaman dahulu, tarian tersebut ditarikan selepas mereka pulang dari berperang.Penari akan memakai pakaian tradisi seperti "sirat", "gagung" atau baju burung. Penari juga memakai topi yang dihiasi dengan bulu burung. Gagung merupakan sejenis baju tebal dan keras diperbuat dari kulit haiwan seperti beruang tetapi tidak dijahit di bahagian kiri dan kanan. Penari akan berdiri di atas bulatan langsaran ke atas dan ke bawah, penari akan melompat bersama iringan lagu yang dimainkan serta bersesuaian dengan upacaranya. Satu lagi jenis tarian ini ialah penari akan memegang perisai kayu di tangan kiri dan pedang di tangan kanan lalu menari seperti berdepan dengan musuh sambil menghayunkan badan ke kiri dan kanan. Lagu iringan dimainkan dari alat muzik seperi gong besar dan kecil, gendang, tetawak, bebendai, engkurumong dan sapeh iaitu alat bertali seperi gitar.

Tarian Sumazau

Tarian Sumazau merupakan satu jenis tarian tradisi rakyat Sabah. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun. Ianya sering dipersembahkan pada Tadau Keamatan yang bermaksud Hari Penuaian yang dirayakan di negeri Sabah pada setiap bulan Mei. Tarian yang ditarikan juga merupakan tanda kesyukuran berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga aspek menolak bala, meyemah semangat dan megubati penyakit. Ilham tarian sumazau adalah dari corak penerbangan burung helang yang disaksikan oleh petani-petani yang sedang berehat di sawah ketika musim menuai. Setiap penari hanya bergerak beberapa sentimeter sahaja daripada penari lain tanpa bersentuhan.

Tarian Singa

Tarian singa merupakan sebahagian daripada tarian tradisional masyarakat Cina. Penari akan meniru pergerakan seekor singa dengan menggunakan kostum lengkap singa. Kostum singa ini dimainkan oleh dua orang penari iaitu seorang di bahagian hadapan dengan menggerakkan kepala kostum, manakala pasangannya akan memainkan bahagian belakang kostum tersebut. Kedua-dua penari tersebut akan bergerak seakan-akan singa di atas pentas yang disediakan. Tarian singan selalunya diiringi dengan paluan gong, dram dan dentuman mercun yang dikatakan akan membawa tuah. Singa dianggap sebagai pelindung dalam kebanyakkan adat orang Asia terutamanya mereka yang berketurunan Cina. Terdapat dua tarian singa yang amat popular iaitu "Tarian Singa Utara" dan "Tarian Singa Selatan". Tarian Singa Utara dikatakan berasal dari utara China yang menggunakan tarian ini sebagai hiburan diraja. Kostum singa tersebut menggunakan warna merah jambu, jingga (hijau dan kuning bagi kostum singa betina). Tarian singa ini mempunyai banyak pergerakan akrobatik sebagai hiburan. Tarian Singa Selatan menjadi lambang yang mempunyai ciri berkaitan alam sekitar. Selalunya dipersembahkan sebagai istiadat atau upacara membuang semangat jahat dan meminta semangat tuah. Tarian Singa Selatan menggunakan pelbagai warna. Kepala kostum bermata besar, bercermin mata dan mempunyai tanduk di kepalanya. Ini bertujuan menunjukkan kegarangan singa tersebut.

Dikir Barat

Dikir barat popular di negeri Kelantan. Dikir barat adalah satu permainan tradisional yang digemari oleh masyarakat Kelantan. Ianya disampaikan secara berkumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang Karut dan Tok Juara. Tukang Karut dan Tok Juara akan mendahului nyanyian sambil berbalas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai latar dengan suara yang kuat dan lantang. Dikir barat dipersembahkan sebagai hiburan atau pun pertandingan. Biasanya ia dimainkan oleh masyarakat di musim menuai padi dan juga majlis perkahwinan.

Ghazal

Ghazal merupakan puisi kasih sayang yang diiringi dengan muzik.Ghazal popular di daerah Muar dan Batu Pahat Johor. Secara tradisinya, ghazal adalah ungkapan cinta, perpisahan dan kesunyian yang sesuai diambangkan oleh ghazal. Ghazal dapat difahami sebagai ungkapan berbentuk puisi akibat kehilangan seseorang yang dikasihi atau perpisahan dan keindahan cinta meskipun pedih.

Dondang Sayang

Dondang sayang merupakan muzik tradisional yang terkenal di Melaka. Ianya sejenis balada yang mana penyanyi-penyanyi saling bertukar pantun tanpa persediaan dalam gaya riang dan kadangkala lucu.  Dondang sayang ini biasanya dimulakan dengan pantun. Kemudian diikuti dengan berbalas-balas pantun. Pemantunnya terdiri daripada dua orang atau lebih yang terdiri daripada pasangan lelaki dan perempuan.Alat-alat yang digunakan ialah rebana, tetawak gendang, violin dan akordian sebagai alat tambahan. Muzik dondang sayang adalah perlahan.

Contoh pantun
Naday bugis tolak blayar
Tengah laot patah kemudi-nya
Hutang budi dapat di bayer
Hutang hati apa gantinya